Tehran : Ulama Syiah garis keras, Ebrahim Raisi, mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Iran pada Khamis (5/8/2021).
Acara itu menandakan secara rasmi beliau menggantikan Hassan Rouhani setelah memenangi piliharaya presiden Iran yang berlangsung pada Jun lepas.
Pelantikan Raisi berlaku ketika Iran menghadapi keadaan yang semakin mencabar. Ditambah, ekonomi Tehran yang semakin lumpuh akibat sekatan perdagangan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat.
Ketegangan antara Iran dengan Amerika telah meningkat sejak 2018.
Ketika itu, Presiden Donald Trump secara sepihak menarik diri daripada rundingan nuklear Iran dan memulihkan sekatan terhadap Tehran.
Selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan ahli parlimen, Raisi menyatakan akan menyokong setiap rencana diplomatik yang bertujuan bagi menghapuskan sekatan.
“Rakyat Iran mengharapkan kerajaan baru bagi meningkatkan pendapatan mereka. Semua sekatan haram Amerika terhadap bangsa Iran harus dicabut,” tutur Raisi.
Lelaki berusia 60 tahun itu rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan disebut-sebut sebagai calon penggantinya.
Sebelumnya, Raisi dikritik atas rekod hak asasi manusianya. Banyak pihak menuduhnya terlibat dalam pembunuhan ribuan tahanan politik pada 1988.
Washington juga menjatuhkan sekatan ke atas Raisi pada 2019 kerana pelanggaran hak asasi manusia.
Sementara itu, perundingan untuk menghidupkan lagi kesepakatan nuklear Iran belum menunjukkan perkembangan yang positif.
Bahkan, rundingan telah ditunda selama beberapa minggu.
Ekonomi yang jatuh membuat rakyat Iran tidak puas terhadap kerajaan. Merekalah yang paling terkesan akibat melonjaknya harga barang keperluan.
Sementara itu, Iran juga menyalahkan sekatan Amerika atas kekurangan ubat-ubatan yang penting di dalam negaranya.
Di samping krisis ekonomi, Iran masih berjuang melawan pandemik covid-19. Iran merupakan negara di Timur Tengah yang paling terjejas dengan pandemik itu.
Iran juga telah digoncang oleh gelombang aksi protes di bahagian barat daya negara. Sebahagian protes tersebut dipicu oleh kekurangan bekalan air yang teruk.
— KOMPAS