
Eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) mencatat peningkatan ketara sebanyak 51.8 peratus kepada 93,000 tan metrik bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, berbanding 61,000 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen berkata, 65 peratus daripada eksport tersebut pada 2024 terdiri daripada produk minyak sawit yang diperakui mampan dan digunakan dalam penghasilan produk bernilai tinggi. Manakala 19 peratus pula adalah stearin sawit, komponen penting dalam industri makanan dan penjagaan diri.
Walaupun AS bukan pasaran eksport utama minyak sawit negara, kerajaan memandang serius terhadap pengenaan tarif import baharu sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
“KPK sentiasa prihatin dan proaktif dalam memantau perkembangan dasar perdagangan antarabangsa bagi memastikan eksport minyak sawit negara tidak terjejas,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut adalah sebagai jawapan kepada pertanyaan Datuk Siti Aminah Aching (BN–Beaufort) yang ingin mengetahui kesan tarif baharu itu terhadap permintaan global serta langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan eksport minyak sawit Malaysia kekal stabil.
Menurut KPK, kementerian tersebut melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan rundingan berterusan dengan pihak AS bagi menjamin perdagangan yang adil, terbuka dan saling menguntungkan.
Dalam usaha mengukuhkan daya saing industri sawit negara, pelbagai langkah bersepadu sedang dilaksanakan kerajaan termasuk menggalakkan transformasi sektor sawit ke arah penghasilan produk hiliran berteknologi tinggi seperti oleokimia, bahan makanan diproses dan biobahan api.
Kerajaan juga memperkukuh pelaksanaan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa, khususnya dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Selain itu, sistem Sawit Intelligent Management System (SIMS) turut diperkenalkan bagi menjamin kebolehjejakan penuh di ladang untuk semua minyak sawit yang dihasilkan.
KPK turut memaklumkan bahawa dua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu telah ditandatangani iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia–UAE pada 14 Januari 2025, dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–EFTA (MEEPA) pada 23 Jun 2025.
Kedua-dua perjanjian ini diyakini dapat membuka akses pasaran yang lebih luas untuk produk hiliran sawit, di samping membantu mengurangkan tarif, mengatasi halangan bukan tarif, serta menggalakkan pelaburan asing dalam sektor komoditi negara.
Secara keseluruhan, langkah-langkah menyeluruh yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan adalah bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing, meningkatkan eksport, serta mengekalkan reputasi sebagai pengeluar minyak sawit mampan, telus dan beretika di peringkat global.
“Ini penting untuk terus menarik minat negara-negara maju seperti Amerika Syarikat agar kekal menjadi antara pengimport utama minyak sawit Malaysia,” tambah KPK.
Sumber: BERNAMA