Semasa

Elak dakwah berunsur kontroversi dan sensitiviti melampau – JAKIM

KUALA LUMPUR : Para asatizah atau guru dan penceramah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada  pihak berkuasa agama negeri masing-masing sebelum menyampaikan ilmu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, semua pihak sama ada para asatizah atau masyarakat seharusnya menjaga adab dan disiplin ilmu dengan sebaik mungkin.

“Perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau hendaklah dielakkan.

“Selain itu, ilmu yang hendak disampaikan perlulah  melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam agar ianya tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

“Walaupun, tugas menyampaikan ilmu dan dakwah ini mulia, namun, semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan.” katanya.

Tegas beliau, perkara ini bertujuan mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan  umat Islam itu sendiri.

Dalam kenyataan tersebut, JAKIM mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada para pendakwah dan penceramah agama di negara ini yang aktif menyampaikan ilmu dalam mendidik umat ke arah yang lebih baik dan sempurna.

“Kewujudan pelbagai medium semasa khususnya media sosial turut memberi impak positif dalam merancakkan lagi program keilmuan dan dakwah.”  katanya hari ini.

Sementara itu, JAKIM turut menasihati masyarakat khususnya umat Islam agar mendapatkan ilmu dari para  ilmuan yang diiktiraf serta mempunyai  kelayakan dalam bidang yang disampaikan.

“Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.” ujarnya.

JAKIM juga memohon kerjasama dan sokongan dari semua pihak untuk sama-sama kita menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara.

“Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam.

Lanjutan itu, JAKIM bakal mengadakan Multaqa Daie bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Tuan Haji Idris Ahmad, pada 28 Oktober dengan menghimpunkan para asatizah untuk bertukar-tukar pandangan  dan mengeratkan  hubungan antara ulama’  dan umara’ ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button