Johan qari tilawah antarabangsa, Wan Ainuddin Hilmi kembali ke rahmatullah
KOTA BHARU : Johan qari tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa ke-58 pada 2016, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.26 tengah hari semalam.
Perkara itu disahkan oleh adik Allahyarham, Datuk Muhammad Abdullah yang memaklumkan arwah yang kini berusia 39 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Machang.
Adik Allahyarham menyifatkan pemergian arwah sebagai kematian yang mengejut kerana arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit dan berkemungkinan disebabkan serangan jantung.
Wan Aminuddin yang meninggalkan seorang isteri dan enam anak telah disolatkan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.
Sementara itu, pemergian Wan Ainuddin turut mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran Facebooknya semalam.
“Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali kerahmatullah tengah hari tadi.
“Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-Quran. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan Allahyarham bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Pada 2018, sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan arwah dalam memartabatkan al-Quran, beliau telah menerima sumbangan sebuah rumah oleh kerajaan negeri.
Oleh Hafeez Anuar