DuniaSemasa

Enam cedera serangan udara Israel

BEIRUT : Enam tentera Syria cedera dalam serangan roket Israel yang menyasarkan pangkalan udara di wilayah Homs, semalam.

Memetik laporan AP News, seorang pegawai rasmi berkata, Israel melancarkan serangan roket terhadap lapangan terbang tentera T4 pada jam 9 malam sehingga mengakibatkan enam tentera cedera dan kerosakan pada peralatan.

Bagaimanapun, jurucakap tentera Israel enggan mengulas laporan media mengenai serangan itu.

TV Al-Ikhbariya yang dikendalikan oleh kerajaan Syria turut menggambarkan serangan itu sebagai pencerobohan Israel.

Sementara itu, Badan Pemerhati Hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain berkata, serangan itu menyasarkan depoh dron di dalam pangkalan udara terbabit.

Terdahulu, rejim Zionis sering melancarkan serangan udara ke negara itu dengan fokus utama menyerang pasukan Iran dan Hizbullah termasuk tentera.

Tentera Israel jarang mengakui melancarkan serangan tetapi berulang kali menegaskan mereka tidak akan membiarkan Syria menjadi kubu kuat musuh, Iran.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button