KUALA LUMPUR : Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 Kerajaan Malaysia bagi mempermudah pengembara Malaysia di negara anggota EU.
Dalam satu kenyataan di laman sesawang EU, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen memberitahu Malaysia akan disambung kepada kerangka kerja Sijil COVID Digital EU yang ditubuhkan di bawah Peraturan (EU) 2021 /953 bagi membolehkan pengiktirafan itu beroperasi.
“Sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 Malaysia menepati ‘Sistem Pengurusan Vaksin’ kesatuan itu dan dianggap setara dengan yang dikeluarkan mengikut Peraturan (EU) 2021/953,” menurut kenyataan itu.
Namun, Suruhanjaya boleh menggunakan kuasanya untuk menggantung permohonan keputusan itu atau memansuhkannya, jika syarat Perkara 8(2) Peraturan (EU) 2021/953 tidak lagi dipatuhi sebagai langkah untuk melindungi kepentingan Kesatuan, khususnya dalam bidang kesihatan awam.
Malaysia pada 18 Nov 2021 menyediakan maklumat terperinci kepada Suruhanjaya itu mengenai pengeluaran sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 di bawah ‘Sistem Pengurusan Vaksin’.
“Malaysia memaklumkan kepada Suruhanjaya bahawa ia menganggap sijil Covid-19 dikeluarkan mengikut piawaian dan sistem teknologi, yang saling beroperasi dengan kerangka kerja ditetapkan Peraturan (EU) 2021/953 dan membenarkan pengesahan ketulenan, kesahihan dan integriti sijil-sijil itu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Michalis Rokas turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini itu di akaun Twitternya.
“Berita baik: EU telah menerima permintaan Malaysia @officialmosti untuk mewujudkan kesetaraan antara Sijil COVID Digital EU dan MySejahtera Malaysia. Merancakkan lagi perniagaan dan pelancongan!,” katanya.
-AGENSI