EkonomiSemasa

Felcra Catat Untung Boleh Agih RM178 Juta, 74,300 Peserta Terima Manfaat

Felcra Bhd mencatatkan keuntungan boleh agih berjumlah RM178 juta bagi Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) dari Januari hingga April 2025, menunjukkan peningkatan hampir RM2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM101 juta merupakan keuntungan boleh agih interim pertama 2025 yang akan diagihkan secara berperingkat kepada 74,300 peserta Felcra di seluruh negara mulai hari ini.

“Saya mengucapkan syabas kepada Felcra atas kejayaan mengekalkan prestasi yang baik serta menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya,” katanya pada majlis pengisytiharan keuntungan boleh agih interim pertama 2025 projek peserta Felcra, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Idris Lasim.

Ahmad Zahid berkata, Felcra turut mencipta sejarah dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui pengkomersialan varieti padi wangi tempatan, MRQ 107, yang berpotensi menjadi alternatif kepada beras import.

Katanya, kawasan Seberang Perak seluas lebih 3,400 hektar yang diusahakan secara moden oleh Felcra merekodkan purata hasil mencecah lapan tan sehektar setahun, dengan jangkaan pengeluaran melebihi 27,000 tan padi atau 16,000 tan beras setahun.

Sementara itu, Idris berkata prestasi keuntungan boleh agih Felcra dipacu oleh kecekapan pengurusan ladang serta pelaksanaan langkah penjimatan kos operasi.

“Pendekatan lebih efektif dalam penggunaan baja, racun dan input ladang telah menurunkan kos operasi sebanyak 15 peratus, selain meningkatkan hasil per hektar sehingga 49 peratus,” katanya.

Beliau menambah, projek kelapa sawit Felcra turut mencatatkan peningkatan purata keuntungan bersih sebanyak 81 peratus, dipacu prestasi ladang selain didorong trend harga minyak sawit mentah (MSM).

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button