Festival Kita tarik 1,000 pengunjung ke Putrajaya
PUTRAJAYA: Bersempena sambutan ‘World Humanitarian Day 2023’ atau Hari Kemanusiaan Sedunia pada Sabtu, Cinta Syria Malaysia (CSM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) telah berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung untuk bersama-sama ke Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya bagi menghayati tema perjuangan ‘Demi Pendidikan Anak-anak Palestin & Syria’.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bermula seawal 6:30 pagi termasuk acara riadah larian sejauh 6 km, senamrobik dan berbasikal sejauh 25km yang disertai oleh peserta dari pelbagai peringkat umur serta latarbelakang. Malah kehadiran saudara-saudari Palestin dan Syria yang menetap di Malaysia turut menyerikan setiap acara festival.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Musa Nuwayri, tujuan utama festival adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perjuangkan isu pendidikan kepada Syria dan masalah pendidikan di Palestin.
“Hari ini juga adalah Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut bagi meraikan pejuang-pejuang kemanusiaan jadi hari ini sangat istimewa bagi kami yang memperjuangkan isu kemanusiaan dengan kehadiran pengunjung yang menyokong dan support dari pelbagai segi termasuk dana kewangan disamping kesedaran semua pihak tentang isu pendidikan anak-anak Syria & Palestin“.
“Masalah pendidikan anak-anak Syria & Palestin ini isu besar disebabkan mereka ini tidak mendapat hak kepada pendidikan yang sewajarnya. Pendidikan anak-anak ini amat penting memandangkan mereka ini adalah pewaris bangsa dan negara mereka suatu hari nanti, mereka ini akan membangunkan Syria semula, mereka juga akan membangunkan Palestin”.
“CSM ada 3 buah sekolah di Jordan, Syria & Malaysia. Ini semua adalah untuk mereka. CGM juga ada 2 sekolah dibuka di Palestin sebagai tanda kepedulian kita. Jadi kita sangat mengharapkan sokongan daripada rakyat Malaysia agar prihatin untuk sama-sama membela nasib mereka terutamanya pendidikan dari peringkat awal sekolah rendah sehingga mereka berjaya mengenggam ijazah mahupun kedoktoran PHD“, jelas Musa Nuwayri.
Dalam kemeriahan Festival Kita, kehadiran bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM turut mendapat perhatian dimana para pengunjung berpeluang mendapatkan rawatan kesihatan percuma daripada perkhidmatan pemeriksaan serta petugas sukarelawan kesihatan.
Hampir 150 orang pengunjung telah diberikan rawatan, khidmat nasihat kesihatan serta ubat-ubatan percuma melalui Klinik Bergerak MAIWP-MAPIM ini.
Menurut Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Tuan Mohd Affandey, MAIWP sentiasa menyokong usaha gerak kerja yang dijalankan oleh NGO-NGO dan berkolaborasi bersama dengan pelbagai rakan strategik.
“Kita berbesar hati dapat membantu secara tidak langsung dalam usaha sokongan kemanusiaan kepada saudara kita di Syria dan Palestin sebegini”.
“Saya difahamkan melalui program ini, sumbangan akan disalurkan kepada Sekolah KITA melalui CSM. MAIWP sentiasa membantu mana-mana NGO melalui pelbagai inisiatif dan sentiasa terbuka untuk membantu”, jelas beliau ketika ditemubual UmmahToday.
Pengisian program ‘Festival Kita’ turut diisi dengan sesi perkongsian ‘Sembang Kemanusiaan’ yang disampaikan oleh selebriti dan juga influencer (pempengaruh digital) antaranya Aizat Amdan, Farah Lee, Aliza Kim dan ramai lagi.
Festival Kita telah dijayakan hasil kerjasama rakan strategik pelbagai antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan MyAqsa Defenders selaku penaja utama.
BACA JUGA
MAPIM anjur program ‘healing’ melalui Majlis Ummah Berselawat