PalestinSemasa

Gaza Dilanda Krisis Kesihatan: Cacar Air Merebak Mendadak Dalam Kalangan Kanak-Kanak Pelarian

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa kes penyakit cacar air (chickenpox) dalam kalangan kanak-kanak Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza terus mencatatkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Menurut laporan terkini daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), kira-kira 9,300 kes cacar air telah direkodkan dalam tempoh dua minggu lalu. Lebih separuh daripada jumlah kes tersebut dikesan di bandar Khan Younis yang kini padat dengan khemah pelarian.

Krisis ini berpunca daripada tindakan kejam Israel memusnahkan infrastruktur awam sehingga mewujudkan penempatan pelarian yang terlalu sesak, timbunan sisa buangan yang tidak terurus, akses yang terhad kepada air bersih, serta sistem kumbahan yang lumpuh sepenuhnya.

Penyakit Kulit dan Saluran Pernafasan Menular Pantas

Keadaan persekitaran yang semakin kotor dan memualkan itu telah memicu penularan pantas pelbagai penyakit berjangkit, sekali gus menjadikan cacar air sebagai ancaman kesihatan awam terbaharu di wilayah enklaf yang dikepung itu.

“Penyakit berkaitan saluran pernafasan akut dan jangkitan kulit kekal menjadi isu kesihatan paling kritikal dan kerap dilaporkan di Gaza ketika ini. Malah, penyakit bawaan air turut merebak dengan pantas, terutamanya di sekitar Khan Younis,” memetik laporan OCHA.

PBB turut melaporkan lebih daripada 18,000 kes baharu direkodkan pada minggu lalu yang merangkumi jangkitan cacar air, serangan parasit luaran, serta jangkitan kulit bakteria impetigo.

Sistem Kesihatan Gaza Lumpuh Total

Situasi menjadi lebih parah apabila sistem penjagaan kesihatan di Gaza telah hancur sepenuhnya akibat kempen perang genosid oleh tentera rejim Israel. Kebanyakan hospital dan fasiliti perubatan telah dibom, selain berdepan krisis kekurangan ubat-ubatan, bahan api, dan bekalan perubatan asas yang kritikal.

Kekejaman ini berterusan walaupun perjanjian gencatan senjata telah dimeterai pada 10 Oktober 2025. Data daripada Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim Zionis setakat Khamis lalu telah mengorbankan 1,127 rakyat Palestin dan mencederakan 3,643 yang lain.

Secara kumulatifnya, sejak pembunuhan beramai-ramai oleh Israel bermula selepas 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 73,250 rakyat Palestin telah syahid manakala 173,751 individu mengalami kecederaan. Pihak kementerian turut mengesahkan bahawa dianggarkan 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur awam di Gaza kini telah musnah atau rosak teruk.

Sumber: AA / TRT World

Related Articles

Back to top button