DuniaSemasa

Gempa Bumi Turkiye: Tiada rakyat Malaysia terkorban

PETALING JAYA: Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye, 23 kilometer timur Nurdagi, wilayah Gaziantep.

Duta Besar Malaysia di Turkiye, Sazali Mustafa Kamal memaklumkan 8 orang rakyat Malaysia yang berada di lokasi terbabit.

“Pada masa ini ada 8 orang di dalam kawasan terbabit sehingga kini kami telah mengesahkan bahawa mereka selamat dan mereka tidak berada di dalam keadaaan berbahaya,” kata Sazali.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan selatan Turkiye, hari ini, meragut lebih 600 nyawa.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku pada jam 4:17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran yang menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain, termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran, termasuk Lubnan dan Syria.

Tambahnya pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kehadiran sukarelawan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusian di wilayah terbabit.

Ia berikutan kawasan terbabit berhampiran dengan sempadan Syria yang menempatkan banyak kem pelarian.

“Kami sedang cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada beberapa beberapa sumber terutama kerajaan Turkiye dan rakyat Malaysia yang berada di kawasan setempat,” katanya

Ujar Sazali, pihaknya telah diarahkan oleh Wisma Putra untuk menawarkan sebarang bantuan yang diperlukan kepada Kerajaan Turkiye dalam membantu operasi mencari dan menyelamat.

Related Articles

Back to top button