
RIYADH: Had usia 50 tahun yang dikenakan bagi jemaah antarabangsa yang ingin menunaikan umrah dibatalkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, lapor Saudi Gazette.
Terdahulu, kementerian tersebut menetapkan had umur antara 18 hingga 50 tahun bagi jemaah yang ingin menunaikan umrah di bawah visa umrah, bersolat di Masjidil Haram, Raudah di Masjid Nabawi dan ziarah Makam Nabi,
Sehubungan peraturan baharu yang ditetapkan, jemaah warga emas dari luar negara dibenarkan untuk menunaikan umrah dengan syarat patuhi langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Baru-baru ini, kementerian yang sama melancarkan perkhidmatan mengeluarkan visa umrah dan akses ke Masjidil Haram serta Masjid Nabawi bagi jemaah luar dengan hanya melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna yang dimuat naik di telefon pintar jemaah haji.
Di bawah visa umrah, jemaah asing di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan menunaikan umrah.
Sementara itu, jemaah masih diwajibkan untuk memakai pelitup muka biarpun penjarakan dalam solat ditarik balik.
Selain itu, jemaah juga diminta untuk membuat tempahan menunaikan umrah dan solat bagi mengesahkan status imuniti mereka di pintu masuk dua masjid itu.
Khamis lalu, kerajaan Saudi turut mengumumkan penarikan semula larangan perjalanan ke atas enam buah negara, termasuk Indonesia, Pakistan, India dan Mesir berkuat kuasa 1 Disember ini.
Dilaporkan, sebelum berlakunya pandemik Covid-19 ,keempat-empat negara ini pernah menghantar jumlah jemaah terbesar.
Baru-baru ini, penjaga dua masjid suci itu, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, mengeluarkan perintah membenarkan penggunaan dengan kapasiti penuh Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Oleh Nurshazlin Shahrom