
Kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat kekal buat masa ini memandangkan pihak Parlimen masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung status beliau susulan pemecatan daripada parti Bersatu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada notis bertulis diterima daripada Bersatu mahupun blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) mengenai perubahan kedudukan Ahli Parlimen Larut tersebut.
Menurut Johari, sebarang keputusan atau pengumuman rasmi hanya boleh dibuat selepas pihaknya menerima pengesahan secara bertulis atau “hitam di atas putih”.
“Setakat ini kita tidak terima apa-apa lagi. Jadi, maknanya status beliau tetap sama, kecuali kita terima hitam di atas putih, barulah kita akan umumkan. Apa pun, saya sedang menunggu,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Parlimen Malaysia semalam.
PAS Bakal Terajui Blok Pembangkang
Isu kedudukan Ketua Pembangkang ini timbul selepas Hamzah Zainudin dilaporkan dipecat oleh Bersatu berikutan konflik dalaman parti yang berlarutan.
Menyusuli perkembangan itu, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa PAS akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat. Bagaimanapun, nama Ahli Parlimen yang bakal menggalas tanggungjawab tersebut masih belum didedahkan dan akan dimaklumkan kemudian.
Johari menambah, dengan baki dua hari sidang Dewan Rakyat bagi minggu ini, perkembangan lanjut mengenai pelantikan baharu tersebut dijangka hanya akan diketahui pada minggu hadapan sekiranya notis rasmi dikemukakan.
Sumber: BERNAMA







