DomestikKerohanianPendidikanSemasa

Dapat kerja guna ‘kabel’ atau ‘kroni’ boleh ke ?

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

PUTRAJAYA : Mendapat pekerjaan menggunakan kabel atau orang yang rapat dalam syarikat  bukanlah perkara yang aneh malah, sudah menjadi budaya di dalam masyarakat.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) memberi penjelasan mengenai hukum mendapat kerja menggunakan kabel atau kroni melalui artikel Irsyad Al-Fatwa siri ke 692 yang disiarkan dalam laman sesawang rasminya hari ini.

Menurutnya, konsep menggunakan kabel atau kroni untuk mendapatkan pekerjaan boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza.

Secara umumnya, perspektif yang pertama dibenarkan apabila meminta tolong rakan-rakan untuk memudahkan urusan permohonan atau majikan memilih pekerjaan atas dasar mempunyai kelayakan yang sesuai.

Tambahnya lagi, permohonan kerja yang mempunyai rasuah, sogokan atau atas dasar kenal tanpa sebarang nilai kelayakan ia merupakan perkara yang haram dan menzalimi mereka yang berhak.

“Cara yang dibenarkan seperti meminta bantuan rakan untuk mendapatkan kerja tanpa menafikan hak orang lain. Sebagai contoh seorang majikan memilih pekerja atas dasar ingin membantu pekerja tersebut yang datang daripada keluarga yang miskin.

“Islam melarang menggunakan kabel dengan cara membayar sejumlah wang atau harta kepada orang lain dengan niat untuk mendapatkan sesuatu ia merupakan cara yang buruk dan haram,” katanya lagi.

Dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-85, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. Syafaat yang baik seperti mendorong ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah SWT serta tidak mengambil rasuah.

Manakala, syafaat yang buruk merupakan pertolongan yang disogok dengan wang dan harta untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.

PMWP turut mengingatkan bahawa Islam melarang dan melaknat orang yang memberi serta menerima rasuah dalam memutuskan sesuatu keputusan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam membuat keputusan berkenaan sesuatu perkara.” Riwayat Tirmizi

Related Articles

Back to top button