
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sekarang, berkuat kuasa 30 September ini.
Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan manfaatnya hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia.
“Mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar tidak lagi layak menerima subsidi ini dan perlu membayar harga tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter. Harga RM1.99 ini khas untuk rakyat Malaysia sahaja,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi tersebut. Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta rakyat Malaysia akan menerima manfaat ini.
Setiap rakyat akan diberikan siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter RON95 di bawah BUDI95, manakala pemandu e-hailing boleh memohon kuota tambahan.
Sebagai langkah penghargaan awal, anggota polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter pada 27 September (Sabtu), manakala golongan B40 yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menikmati harga istimewa itu sehari selepasnya, pada 28 September (Ahad).
“Ini adalah penghargaan sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia kepada seluruh rakyat, sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan mereka,” kata Anwar.
Sumber: Bernama