Semasa

Hari Bumi : PM seru rakyat budayakan amalan kelestarian

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjemput seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan menyumbang masa membudayakan amalan kelestarian sempena Hari Bumi hari ini.

Menurut satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, seluruh Keluarga Malaysia diseru agar terus bersemangat memainkan peranan dan memikul tanggungjawab bagi mewariskan Malaysia yang lestari kepada generasi akan datang.

“Amalan seperti menghindari penggunaan plastik sekali guna dan penjimatan sumber tenaga perlu dijadikan kebiasaan dalam kehidupan,” kata beliau.

“Sejajar dengan Fokus Kelapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau, pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, manakala liputan kawasan hijau perlu dipertahankan”

“Usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, mempertingkatkan kemampanan tenaga dan mentransformasikan sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara,” menurut hantara tersebut.

Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030, berdasarkan intensiti pelepasan 2005, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon.

Dalam pada itu, beliau juga yakin dengan rakyat Malaysia untuk teruskan komitmen supaya negara akan mencapai matlamat untuk memelihara alam sekitar.

“Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi”

“Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” tambah beliau.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button