PalestinSemasa

‘Hentikan Sandiwara’: Media Asing Kecam Israel Kekalkan Larangan Masuk Gaza

Persatuan Akhbar Asing (FPA) meluahkan kekecewaan mendalam dan menyifatkan tindakan kerajaan Israel sebagai “sombong” kerana berkeras mengekalkan larangan akses bebas media antarabangsa ke Gaza. Walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober lalu, Israel dalam hujah terbarunya kepada Mahkamah Agung menegaskan bahawa pintu sempadan perlu kekal tertutup kepada wartawan atas faktor risiko keselamatan yang didakwa masih wujud.

FPA, yang mewakili ratusan wartawan di wilayah tersebut, menyelar alasan Israel yang mendakwa kemasukan media boleh mengganggu operasi pencarian baki mayat tebusan. Persatuan itu menegaskan bahawa kerajaan Israel sengaja “mengurung” wartawan asing daripada melaporkan realiti sebenar dan bekerjasama dengan rakan media Palestin di lapangan. Statistik pejabat media Gaza merekodkan angka yang mengerikan, di mana 257 wartawan Palestin telah terbunuh sepanjang konflik genosid ini.

Sejak Oktober 2023, akses wartawan asing disekat sepenuhnya kecuali melalui liputan terhad di bawah pengawasan ketat tentera (embedded). FPA kini merancang untuk mengemukakan respons balas yang “mantap” kepada mahkamah, dengan harapan para hakim akan menamatkan apa yang disifatkan mereka sebagai “sandiwara” yang mencabul kebebasan akhbar dan hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran. Keputusan Mahkamah Agung mengenai petisyen ini amat dinanti-nantikan, walaupun tarikhnya belum dipastikan.

Sumber: TRT World dan AFP

Related Articles

Back to top button