PalestinSemasa

ICJ Putuskan Israel Wajib Bantu Operasi Palang Merah Dan Negara Ketiga Di Gaza

ISTANBUL — Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Israel diwajibkan di bawah Konvensyen Geneva untuk bersetuju dan memudahkan skim bantuan oleh negara ketiga serta kumpulan kemanusiaan seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan UNRWA bagi memastikan bantuan mencukupi sampai ke Gaza.

ICJ menegaskan bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan, mempunyai tanggungjawab tanpa syarat untuk memenuhi keperluan asas penduduk Gaza yang kini tidak dibekalkan secukupnya di bawah Perkara 59 Konvensyen Geneva Keempat.

Mahkamah turut menyatakan bahawa sejak 7 Okt 2023, Israel telah membunuh lebih 68,000 orang dan mengenakan sekatan ketat terhadap bantuan kemanusiaan serta perubatan.

ICJ menolak dakwaan Israel bahawa kakitangan UNRWA terlibat dengan kumpulan bersenjata, dengan menegaskan tiada bukti kukuh dikemukakan. Mahkamah juga menegaskan bahawa alasan keselamatan tidak boleh digunakan untuk menggantung semua aktiviti kemanusiaan dan bahawa kewajipan Israel memudahkan bantuan adalah tanpa syarat.- BERNAMA/ANADOLU

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button