Covid19KemanusiaanKerohanianKesihatanSemasa

Ihya Masjid:rapatkan hubungan, bantu komuniti setempat di bulan Ramadan

Masjid At-Taqwa, MEDICOM teruja bekerjasama lagi

KAJANG : Hubungan baik antara komuniti setempat dan NGO dapat menjamin pelbagai program kemanusiaan dijalankan dengan lebih baik dan lancar.

Itu yang dibuktikan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan penganjuran Program Ihya Masjid. MAPIM Malaysia bekerjasama pengurusan Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Kajang menerusi Jelajah Peduli Ummah siri Ramadan.

Program ini merupakan acara tahunan yang bermatlamatkan menyantuni masyarakat dan merapatkan lagi silaturahim antara pihak MAPIM dan masyarakat setempat. Selain itu program ini dapat mengimarahkan masjid dan menghidupkan amalan pada bulan Ramadan.

Menurut pegawai Masjid At-Taqwa, Luqman Hakim, beliau berterima kasih kepada pihak MAPIM kerana sudi bekerjasama bagi menganjurkan Program Ihya Ramadan kali ini.

“Kami amat kagum dengan usaha MAPIM yang memang sudah dikenali dengan kegiatan menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan, kami rasa bersyukur kerana terpilih untuk bekerjasama dengan pihak mereka untuk menjayakan program ini,” – Pegawai Masjid At-Taqwa / Luqman Hakim

Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan lagi kerjasama dengan MAPIM pada masa akan datang.

Program dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas MAPIM, Ustaz Fakhruddin Zainol bertajuk, ‘Dahsyatnya Sedekah di Bulan Ramadan’.

Pada malamnya pula, Ketua Sektor Afrika MAPIM, Ustaz Nik Mohd Abdul Aziz mengambil tempat dengan perkongsian bertajuk `Sebaik-baik Umat adalah yang Memberi Manfaat’.

Selain program pengisian rohani, majlis Ihya’ Masjid juga membantu mereka yang kurang berkemampuan dengan pemberian bantuan kotak makanan, serta khidmat pemeriksaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby al-Kahery, yang turut hadir, berkata program itu juga bertujuan menyantuni mereka yang terbeban akibat kesan pandemik Covid-19. Sehubungan itu, pada program ini MAPIM menyampaikan infaq daripada penyumbang kepada golongan tersebut.

“Dari respon yang diterima, ramai yang teruja untuk mendapatkan khidmat rawatan dan mereka merasakan dengan fasiliti yang disediakan ini jika turut dibawa ke kawasan pedalaman, akan memberikan kemudahan kepada asnaf yang kurang berkemampuan. Ini menjadi satu motivasi untuk MAPIM,  kita bukan sahaja fokus kepada kegiatan aktivis membantu saudara kita di negara luar, malah serentak di dalam dan luar negara,” – Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby al-Kahery.

Pada sebelah petang pula, majlis penyerahan bantuan makanan kepada golongan asnaf yang kurang bernasib baik diadakan.

Seramai 78 orang asnaf terpilih untuk menerima sumbangan secara pandu lalu ini, manakala lima lagi bantuan dihantar terus ke rumah mereka.

Ketika ditemui UMMAHToday, Khatijah Ujang, yang merupakan antara penerima bantuan ini tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada MAPIM yang sudi menghulurkan bantuan.

“Terima kasih banyak-banyak kerana sudi bagi bantuan kepada kami, tak sangka ada orang yang sudi meringankan beban kami, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa mereka ini. Terima kasih banyak-banyak,” – Khatijah Ujang

Apa yang menambahkan lagi rasa sebak adalah keadaan suaminya yang  mempunyai masalah percakapan dan tidak lagi mempunyai kudrat untuk mencari rezeki.

Menurut Pegawai Tugas Khas MAPIM, Syahir Shahrumi sebagai Ketua Program, bantuan ini diharapkan dapat membantu saudara seagama yang kurang berkemampuan untuk turut sama menyambut Ramadan pada tahun ini dengan keadaan yang lebih baik.

“Hari ini, kita telah menyampaikan bantuan dalam bentuk kotak bantuan makanan asas, seramai 78 golongan asnaf yang menerima bantuan ini dan lima kotak lagi kita hantar terus ke rumah mereka kerana keadaan mereka yang tidak mengizinkan. Tanpa kita sedar, sewaktu kita sedang gembira menyambut bulan Ramadan ini, ada juga yang sedang dalam kesusahan, jadi kami dari pihak MAPIM mengambil inisiatif ini untuk memudahkan kehidupan mereka,” – Pegawai Tugas Khas / Syahir Shahrumi.

MAPIM turut menyediakan ‘mobile clinic’ bagi memudahkan pengunjung yang hadir pada program tersebut mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

 

Doktor yang terlibat merupakan sukarelawan daripada Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan, MEDICOM  yang berbesar hati untuk berkolaborasi bersama dengan MAPIM. Mereka menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma untuk golongan asnaf yang sukar mendapatkan akses pemeriksaan kesihatan percuma.

Menurut Pemangku Pengarah Kesihatan MediCOM Malaysia, Dr. Shafiq Wahab, beliau menyatakan rasa teruja dapat memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai dengan lebih mudah, dengan bantuan fasiliti ‘mobile clinic’ bergerak MAPIM Malaysia.

 

“Alhamdulillah ramai yang hadir untuk mendapatkan peluang mendapat khidmat rawatan percuma ini. Kami turut rasa berbangga dapat bekerjasama dengan MAPIM, dan dengan adanya fasiliti yang disediakan ini, amat memudahkan orang ramai untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan di sini,” – Pemangku Pengarah Kesihatan MediCOM Malaysia / Dr Shafiq Wahab.

`Mobile clinic’ MAPIM telah memberikan satu solusi bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk mereka yang sukar ke klinik kesihatan.

MAPIM Malaysia turut membuka peluang pihak di luar sana yang mahu mendapatkan khidmat ‘mobile clinic’ ini dengan menghubungi talian 1-300-888-038 atau melayari laman web https://www.mapim.org/

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

*

2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500 & RM3,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan terdesak lain. Sumbangan boleh dibuat melalui:

www.BantuUmmah.com
www.BantuUmmah.com
www.BantuUmmah.com

ATAU

menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM 562263-540066

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button