KUALA LUMPUR: Seorang individu hari ini tampil menjelaskan bahawa kerajaan dan KFC, tidak terlibat sama sekali dengan jemputan dan kehadiran pelajar tahfiz di Kepci Muzik Festival di Shah Alam, bersempena sambutan 50 tahun rangkaian restoran makanan segera itu di Malaysia pada Sabtu lepas.
Andrie Ung Han Xiang yang mengaku bertanggungjawab membawa pelajar tahfiz menghadiri konsert itu, berkata kedua-dua pihak iaitu KFC dan kerajaan juga tidak diberi sebarang makluman mengenai hal itu.
“Inisiatif ini sepenuhnya daripada pihak saya, yang ikhlas untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan, untuk merasai pengalaman menghadiri festival tersebut dan diraikan bersama-sama“.
“Saya dengan bantuan dan sumbangan dari rakan-rakan, telah berjaya mengumpulkan seramai 700 orang anak yatim dari 22 buah rumah anak yatim seluruh negara“, katanya dalam kenyataan hari ini.
Andrie menambah kanak-kanak yang ditularkan memakai jubah hijau dan berserban putih itu dari Madrasah Watahfiz Al-Quran Rohingya TTDI Jaya. Mereka anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu.
Sebelum ini, tular video di media sosial yang memaparkan kehadiran pelajar tahfiz menonton konsert itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Haji Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dalam konteks ini, penganjur perlu mematuhi garis panduan ditetapkan kerana sensitiviti masyarakat dapat dijaga.
Mana-mana penganjur yang mahu menganjurkan acara hiburan dinasihatkan untuk lebih peka dan sensitif dalam pelbagai aspek termasuk elemen agama bagi mengelakkan kewujudan isu-isu negatif.
“Saya mahu tekankan di sini, penganjuran festival itu (Kepci Muzik Festival) bukan dibuat oleh kerajaan, acara itu anjuran pihak swasta. Saya difahamkan, pelajar tahfiz itu dijemput oleh pihak ketiga”, jelas beliau.
Konsert Kepci (KFC) dan Kehadiran Pelajar-pelajar Tahfiz.#menteriagama#alfalah pic.twitter.com/vruFFNHegn
— Dato’ Setia Dr.Na’im (@DSDrNaim) August 29, 2023
BACA JUGA
MAPIM anjur program ‘healing’ melalui Majlis Ummah Berselawat