Tentera Israel dilaporkan telah memusnahkan sebuah tanah perkuburan di Gaza yang menempatkan jenazah 22 askar Kanada. Askar-askar berkenaan merupakan sebahagian daripada pasukan pengaman yang terkorban dalam inisiatif pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama pada tahun 1956.
Tanah Perkuburan Perang Gaza yang terletak di daerah Tuffah, Bandar Gaza, dilaporkan telah berulang kali mengalami kerosakan teruk sepanjang konflik berterusan di wilayah tersebut. Imej terbaharu kawasan itu menggambarkan kemusnahan total struktur perkuburan berkenaan.
“Seperti tiada batu nisan lagi,” kata Lia Bons, yang abangnya Adriann dikebumikan di tapak tersebut, ketika ditemu bual pihak media pada hari Rabu. “Ia hanya kelihatan seperti tanah, batu kerikil, dan pasir.”
Operasi Ketenteraan Tanpa Perlindungan Jenazah
Seorang pegawai tentera Israel mengakui bahawa pasukan tempur briged mereka telah menggali antara 20 hingga 30 meter di bawah tanah perkuburan tersebut pada bulan Februari lepas. Operasi itu didakwa bertujuan untuk memusnahkan rangkaian terwoon Hamas. Pegawai itu turut mengesahkan bahawa tiada sebarang langkah diambil untuk melindungi mayat-mayat askar yang berada di situ atas alasan operasi dijalankan dalam keadaan pertempuran yang aktif.
Laporan mendedahkan bahawa pasukan Israel bukan sahaja memusnahkan batu nisan, malah turut menggunakan peralatan pengangkut tanah di dalam kawasan perkuburan serta menempatkan kereta-kereta kebal di sekelilingnya.
Askar-askar Kanada yang disemadikan di tapak tersebut merupakan mereka yang terkorban dalam misi pengaman pertama PBB, yang dilancarkan susulan pencerobohan Israel ke atas Mesir pada tahun 1956. Mereka juga merupakan kumpulan askar Kanada terakhir yang dikebumikan di luar negara.
Keluarga Tuntut Repatriasi Jenazah ke Kanada
Kemusnahan ini mencetuskan kemarahan dan kesedihan mendalam dalam kalangan waris mangsa. Keluarga kepada askar-askar yang terkorban kini mendesak agar kerajaan Kanada mengambil tindakan yang lebih tegas bagi melindungi sisa jenazah yang tinggal, selain ada yang menuntut agar proses penghantaran pulang (repatriasi) jenazah ke Kanada dilaksanakan segera.
Salah seorang waris, Marguerite Picard, menyatakan hasratnya untuk membawa pulang jenazah abangnya, Paul, agar dapat dikebumikan semula di tanah air mereka.
“Saya agak pasti ibu bapa saya mahu abang saya dihantar pulang,” kata Picard. “Saya mahu menyemadikannya di sebelah ibu dan ayah, serta menulis namanya pada batu nisan itu supaya orang ramai tahu dia ada di sana.”
SUMBER: TRT World / CBC News






