KesihatanSemasa

Negara Diserang Influenza, Wad Hospital Sesak Dipenuhi Pesakit

Bangi : Baru sahaja beralih ke fasa pra endamik Covid-19, Malaysia kini berdepan cabaran baru iaitu jangkitan influenza. Jadi tidak hairan sekiranya masyarakat keliru perbezaan antara influenza dengan Covid-19.

Ada yang berkali-kali melakukan ujian kendiri Covid-19 apabila bergejala, namun mendapat keputusan negatif.

Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed, influenza merupakan sejenis jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza.

“Terdapat dua jenis virus influenza yang sering menjangkiti manusia iaitu virus influenza A dan influenza B. Virus influenza A terbahagi kepada pelbagai jenis berdasarkan struktur protein yang terdapat pada virus, contohnya influenza A H1N1 dan H3N2.”

Tambahnya lagi, Influenza A adalah satu-satu yang berupaya menyebabkan pandemik atau wabak di seluruh dunia seperti yang telah berlaku pada tahun 2009 (H1N1).

Manakala influenza B pula dibahagikan mengikut susur galur asal virus, contohnya Yamagata dan Victoria.

Melihat situasi di negara kita, Dr Nurul Azmawati mengatakan bahawa influenza berlaku sepanjang tahun. Penyakit tersebut dikatakan merebak melalui cecair atau titisan daripada tekak serta mulut yang terlepas ke udara.Influenza Di Malaysia

Perkara ini dikatakan berlaku apabila seorang pesakit itu batuk, bersin atau bercakap. Penyakit ini juga boleh tersebar melalui tangan yang dicemari oleh virus influenza.

“Pesakit boleh menyebarkan virus sehari sebelum gejala muncul sehingga tempoh satu minggu selepas mula jatuh sakit.

“Gejala influenza hampir sama dengan gejala Covid-19 iaitu demam, sakit badan, kerap bersin, hidung berair, sakit tekak, batuk dan sakit kepala,” katanya.

KEMASUKAN PESAKIT KE WAD MENINGKAT

Berdasarkan kepada maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), kemasukan pesakit ke wad perubatan dan pediatrik di seluruh hospital negeri Kelantan terutama hospital pakar meningkat. Hal ini disebabkan oleh peningkatan kes influenza yang ketara.

Menurut pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin, penggunaan katil di wad hospital-hospital tersebut juga telah melebihi kapasiti sehingga menyebabkan waktu menunggu pesakit untuk kemasukan ke dalam wad telah meningkat sehingga empat jam.

GAMBAR SEKADAR HIASAN: Datuk Dr Zaini Hussin (Gambar Kecil)

Pihaknya telah mengambil beberapa jalan penyelesaian dengan mengoptimumkan penggunaan katil di hospital melalui sistem koordinasi katil berpusat dan rujukan secara zoning bagi mengurangkan kemasukan pesakit.

Selain itu pihak JKNK juga telah meningkatkan bilangan katil di hospital-hospital daerah dan mobilasi petugas untuk pengoperasian wad-wad tambahan yang baharu. Pihak JKNK juga dalam cadangan untuk pengoperasian semula Hospital Kuala Krai bagi menangani masalah kesesakan yang sedang berlaku di seluruh hospital di negeri itu.

Dr Zaini berkata demikian bagi menjawab satu perkongsian di laman Facebook oleh individu yang dikenali sebagai Mariah Fauzi yang mendakwa hampir semua wad pediatrik (kanak-kank) di sekitar Kota Bhari ketika ini dilaporkan penuh dan hampir tiada katil untuk pesakit baharu. – Bernama

Oleh Khairulanwar – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button