PalestinSemasa

Israel Sengaja Cipta Kebuluran di Gaza Guna ‘Yayasan Bermotif Politik’ – PBB

Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini, menuduh Israel sengaja mewujudkan kebuluran di Gaza melalui usaha menggantikan sistem bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan sebuah yayasan yang didakwa mempunyai motif politik.

Menurut Lazzarini, kebuluran yang sedang berlaku di Gaza bukan disebabkan kekurangan sumber bantuan, tetapi hasil daripada tindakan Israel menggantikan sistem bantuan PBB yang tersusun dengan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang tidak telus dan berat sebelah.

“Kebuluran paksa di Gaza sebahagian besarnya terbentuk daripada percubaan disengajakan untuk menggantikan sistem kemanusiaan yang diselaraskan PBB melalui GHF yang bermotifkan politik,” katanya dalam kenyataan di platform X (dahulu Twitter), Sabtu lalu.

Lazzarini menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin yang tinggal di Gaza, sambil menambah bahawa sistem bantuan alternatif yang dibentuk itu telah menyebabkan kematian hampir 1,400 orang akibat kelaparan.

Menurut beliau, tindakan Israel menyekat UNRWA daripada menyalurkan bantuan selama lebih lima bulan turut memperburuk krisis kebuluran tersebut.

“Usaha untuk meminggirkan dan melemahkan UNRWA tidak ada kaitan dengan dakwaan kononnya bantuan telah disalurkan kepada kumpulan bersenjata,” jelas Lazzarini lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tersebut jelas menunjukkan motif politik, dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk membuka lintasan bantuan kemanusiaan dan membenarkan agensi seperti UNRWA menjalankan peranan mereka secara bebas.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, setakat 1 Ogos, sekurang-kurangnya 169 rakyat Palestin, termasuk 93 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kebuluran buatan sejak Oktober 2023.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan bahawa seorang daripada setiap empat rakyat Gaza kini hidup dalam keadaan seperti kelaparan, dan lebih 100,000 wanita serta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut.

Lazzarini menegaskan bahawa UNRWA mempunyai pengalaman, tenaga kerja, dan sumber untuk menangani krisis kebuluran ini secara menyeluruh, dan menuntut agar halangan politik dihentikan demi menyelamatkan nyawa orang awam yang tidak berdosa.

 

Sumber: TRT World, UNRWA, WFP

Related Articles

Back to top button