Perang Gaza-israel sudah berlarutan lebih daripada lima bulan dan mengikut sejarah, ia adalah perang Gaza – israel yang paling lama.
(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, berkata, “israel secara sengaja mensasarkan orang awam. Ini jelas melalui corak serangan mereka.”
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis ‘Flag Off’, Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan yang digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Majlis ‘Flag Off’ itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebanyak 100 kontena seberat 1,358 tan barangan keperluan berjumlah kira-kira RM12 juta akan dihantar ke Gaza melalui Misi Bantuan Kecemasan itu.
Israel telah melancarkan serangan tentera maut ke atas Gaza sejak7 Oktober. Lebih daripada 32,100 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu dan lebih 72,400 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan asas.
Israel juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya penduduk di utara Gaza, berada di ambang kebuluran.
Perang Israel telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza ke dalam pelarian di tengah-tengah kekurangan akut makanan, air bersih dan ubat-ubatan. Manakala 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.