
Atlet boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple, dan atlet tenpin boling kebangsaan, Sin Li Jane, masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negeri Perak bagi tahun 2023/2024 dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak yang berlangsung malam tadi.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang turut berkenan berangkat ke majlis berprestij itu bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, isterinya Datin Seri Aezer Zubin, serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.
Izzat Shameer menerima pengiktirafan atas kejayaan meraih empat pingat emas dalam Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Kejohanan Boling Padang Asia Bawah 25 Tahun di Clark, Filipina pada April lalu.
Sementara itu, Sin Li Jane mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat selepas memenangi empat kejuaraan termasuk Terbuka Wanita AS dan Kejohanan Jelajah.
Kedua-dua mereka menerima pingat penghargaan serta insentif wang tunai berjumlah RM7,000.
Selain itu, atlet bola tampar pantai Low Jeng Yih dan perenang Joelle Chang Zu-Ee masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan. Atlet berbasikal Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraya Muhammad Zamri pula menerima anugerah Atlet Para Terbaik Lelaki dan Wanita.
Anugerah lain turut diberikan kepada jurulatih berbasikal Hishamuddin Mohd Zaki, Datuk Seri Puhat Mat Nayan (Kepimpinan Sukan), Mohd Jamil Zakaria (Jasamu Dikenang), Mohamad Ayob Kamarudin (Keluarga Sukan), serta pengamal media Razif Rosli dan Mohd Fitri Azman.
Pasukan Perak Bison dipilih sebagai Pasukan Terbaik, manakala Persatuan Golf Negeri Perak menerima Anugerah Khas Persatuan Sukan.
Tahun ini, ASN Perak memperkenalkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Khas Persatuan Sukan Negeri bagi menghargai peranan persatuan dalam pembangunan sukan di peringkat negeri.
Dalam ucapannya, Saarani memaklumkan bahawa sebanyak 202 atlet kini berada di bawah Program Podium Perak (P3), salah satu inisiatif Majlis Sukan Negeri Perak yang telah diperkenalkan sejak 2017 untuk mencungkil bakat baharu dan memperkukuh pembangunan atlet negeri.
— BERNAMA