KOTA BHARU: Sepasang suami isteri berdepan situasi cemas apabila dua jari kaki kiri anak perempuannya tersepit pada eskalator.
Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari semalam di sebuah pasar raya di sini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata kejadian berlaku ketika tiga beranak itu hendak ke tingkat satu dari aras bawah dengan menaiki eskalator.
“Secara tiba-tiba, kaki kiri mangsa tersepit pada eskalator mengakibatkan kecederaan pada jari kaki kiri lalu mangsa terus dibantu beberapa pengunjung yang kebetulan berada di lokasi untuk mengeluarkan bahagian yang tersepit,” katanya.
Mohd Suhaimi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat kecederaan di bahagian jari kelingking serta tengah.
Video yang berdurasi 24 saat tular sejak semalam, menyaksikan kejadian seorang kanak-kanak perempuan tersepit kaki pada eskalator dan bahagian kaki terlekat itu berjaya dikeluarkan yang dibantu beberapa pengunjung sebelum didukung ibunya sebaik bahagian kaki yang terlekat itu berjaya dikeluarkan.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today