
Sebuah jawatankuasa menteri Israel dijadualkan membincangkan rang undang-undang pada hari Ahad yang bertujuan untuk membatalkan Perjanjian Oslo secara rasmi, lapor media tempatan.
Langkah drastik ini, jika diluluskan, bakal menamatkan kerangka kerja politik yang ditandatangani pada tahun 1993 yang selama ini menjadi asas kepada hubungan antara Israel dan Palestin serta pentadbiran di Tebing Barat.
Menurut laporan Channel 12, Jawatankuasa Menteri bagi Perundangan akan menyemak semula cadangan tersebut yang dikemukakan oleh Timbalan Speaker Knesset, Limor Son Har-Melech.
Har-Melech dalam kenyataannya mendakwa bahawa Perjanjian Oslo adalah satu “bencana” yang hanya membawa keganasan dan bukannya keamanan yang dijanjikan. Beliau menyifatkan rang undang-undang ini sebagai satu langkah “pembetulan kebangsaan” yang sangat diperlukan oleh Israel ketika ini.
“Kami berjanji untuk menghalang penubuhan sebuah negara Palestin. Kini tiba masanya untuk menggalakkan pembinaan penempatan di Kawasan A dan B serta membatalkan Perjanjian Oslo,” tegas beliau melalui hantaran di platform X.
Implikasi Terhadap Tebing Barat Di bawah kerangka asal Perjanjian Oslo, wilayah Tebing Barat dibahagikan kepada tiga zon utama:
-
Kawasan A: Di bawah kawalan penuh pentadbiran dan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
-
Kawasan B: Di bawah pentadbiran Palestin namun kawalan keselamatannya dikongsi bersama Israel.
Cadangan untuk membatalkan perjanjian ini secara langsung mengancam autonomi terhad yang dimiliki oleh Palestin di kawasan-kawasan tersebut dan membuka ruang kepada perluasan penempatan haram Israel secara lebih agresif.
Latar Belakang Sejarah Secara rasmi dikenali sebagai “Deklarasi Prinsip-prinsip mengenai Pengaturan Kerajaan Sendiri Sementara,” Perjanjian Oslo ditandatangani di Washington pada 13 September 1993. Detik bersejarah itu disaksikan oleh mendiang Presiden Palestin Yasser Arafat dan bekas Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin, di bawah naungan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton.
Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perjanjian itu dilihat semakin rapuh berikutan pencabulan gencatan senjata yang berterusan, perluasan penempatan haram, dan ketegangan yang semakin memuncak di Gaza dan Tebing Barat.
Pemerhati politik menyifatkan cubaan terbaru untuk memansuhkan perjanjian ini sebagai tamparan hebat kepada penyelesaian dua negara (two-state solution) yang disokong oleh masyarakat antarabangsa.
SUMBER: TRT World & Agensi







