DomestikKemanusiaanSemasa

“Kalau boleh datanglah lagi, sebulan sekali pun tak apa”

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM telah turun ke Surau Jumaat Al Hikmah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR : “Kalau boleh datanglah lagi, sebulan sekali pun tak apa, inisiatif seperti ini memang sangat-sangat membantu penduduk-penduduk di sini”

Demikian merupakan antara maklum balas positif yang diterima dari salah seorang penduduk yang mengambil peluang bagi mendapatkan perkhidmatan mobile clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ini.

Hari ini, mobile clinic MAIWP-MAPIM telah turun ke Surau Jumaat Al Hikmah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Kuala Lumpur bagi menyantuni penduduk dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan serta ubat-ubatan secara percuma.

Menurut pengerusi surau berkenaan, Amin Zalmi Ab Fatah, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MAIWP dan MAPIM kerana telah memilih tempat mereka sebagai salah satu lokasi untuk program mobile clinic ini.

Pengerusi Surau Jumaat Al Hikmah PPR Beringin, Amin Zalmi Ab Fatah

“Alhamdulilah hari ini program bas klinik bergerak ini berjalan dengan lancar, ia sangat memberikan kebaikan untuk anak-anak kariah di sini. Terima kasih juga atas layanan mesra oleh para petugas yang berkhidmat pada hari ini,” katanya.

Seramai dua doktor yang bertugas telah berjaya memberikan pemeriksaan kesihatan kepada lebih 50 orang dengan bantuan seramai tujuh sukarelawan bersama-sama berganding bahu menjayakan program mobile clinic pada hari ini.

Kerjasama erat antara MAIWP dan MAPIM ini ternyata telah memberi manfaat kepada masyarakat setempat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam masa yang sama menjadi contoh dan memperluaskan lagi kolaborasi dengan objektif utama iaitu untuk menyantuni ummah.

Related Articles

Back to top button