Semasa

Lebih 500,000 kanak-kanak di Malaysia terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR : Seramai 513,393 kanak-kanak berumur lima hingga sebelas tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksinasi Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak Kebangsaan (PICKids), iaitu 14.5 peratus daripada populasi negara, sehingga Ahad.

Menurut laman web CovidNow, seramai 13,992,391 orang dewasa, atau 59.5 peratus, telah mendapat dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,944,158 orang dewasa, atau 97.5 peratus, telah lengkap vaksinasi, manakala 23,221,715 orang dewasa atau 98.7telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sebanyak 2,798,806 remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi mereka, menyumbang 90 peratus daripada kumpulan itu, manakala 2,884,882 atau 92.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, 128,153 dos suntikan vaksin telah diberikan, termasuk 61,230 suntikan dos awal, 464 suntikan dos penuh, dan 66,459 suntikan dos penggalak, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan kepada 66,148,498 untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara itu, laman GitHub Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 37 orang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Ahad, dengan sembilan kes di Johor, tujuh di Selangor, enam di Kedah, masing-masing empat di Perak dan Sabah, tiga di Pulau Pinang, dua di Pahang dan satu kes masing-masing di Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.

-AGENSI

Related Articles

Back to top button