
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, didedahkan telah memanipulasi laporan rasmi mengenai taklimat serta amaran keselamatan yang diterimanya sebelum serangan pada Oktober 2023. Siasatan meluas yang diterbitkan mendapati beliau mengubah konteks utama dan sengaja mengetepikan rekod penting bagi menulis semula sejarah pendiriannya sebelum perang tercetus.
Pendedahan berani ini dibuat melalui siasatan bersama oleh akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth, dan portal berita kembarnya, Ynet. Kajian tersebut membandingkan dokumen setebal 55 halaman yang dikeluarkan oleh Netanyahu pada Februari lalu dengan transkrip asal kerajaan, minit mesyuarat, serta keterangan rasmi.
Hasil semakan membongkar adanya usaha pemadaman secara sistematik dan perubahan frasa, terutamanya melibatkan amaran segera yang disampaikan oleh pegawai-pegawai perisikan kanan dalam tempoh beberapa bulan sebelum serangan rentas sempadan itu berlaku.
Putar Belit Naratif
Dalam dokumen yang diterbitkan pada Februari, Netanyahu cuba menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang secara konsisten menyokong operasi pembunuhan bersasaran ke atas komander-komander kanan Hamas. Dokumen itu juga menuduh ketua-ketua tentera dan agensi perisikan sebagai pihak yang tidak mahu bertindak aktif di Gaza.
Bagaimanapun, rekod asal mendedahkan perkara yang sebaliknya. Netanyahu didapati secara konsisten menolak inisiatif ketenteraan yang dicadangkan oleh para pegawainya dengan memberi alasan kononnya Hamas sudah tidak berdaya lagi.
Amaran Keselamatan Diabaikan
Siasatan terperinci itu mendedahkan beberapa siri amaran kritikal yang telah diendahkan oleh Netanyahu:
-
Syor Shin Bet dan Tentera (April 2023): Pengarah Shin Bet ketika itu, Ronen Bar, bersama Ketua Staf Tentera, Herzi Halevi, secara rasmi mengesyorkan agar serangan bersasaran dilakukan ke atas pemimpin Hamas di Gaza.
-
Amaran Konflik Skala Penuh (Mei 2023): Ronen Bar sekali lagi memberi amaran bahawa konflik ketenteraan berskala besar di wilayah enklaf itu tidak dapat dielakkan lagi dan menggesa agar persiapan untuk serangan awal segera dilakukan. Bagaimanapun, Netanyahu menolak pelan berkenaan dengan mendakwa bahawa “keseimbangan pencegahan yang kuat” telah pun wujud.
-
Hakisan Pencegahan (Ogos 2023): Badan Peguam negara itu turut menyampaikan taklimat amaran yang menyatakan bahawa tahap pencegahan Israel semakin merosot dan menasihatkan agar tindakan pencegahan segera diambil.
-
Amaran Kemuncak (10 September 2023): Kurang sebulan sebelum serangan 7 Oktober, Ronen Bar memberi amaran keras bahawa Israel sedang berhadapan dengan “situasi keselamatan yang amat serius” dan risiko yang amat tinggi apabila pelbagai medan perang mungkin bertemu secara serentak. Menyahut amaran kritikal ini, Netanyahu sebaliknya dilaporkan hanya mengarahkan pegawai-pegawai keselamatan untuk memastikan tempoh cuti perayaan Yahudi pada musim luruh berjalan “setenang mungkin”.
Lebih mengejutkan, siasatan itu juga mendapati bahawa dokumen yang dikeluarkan oleh pejabat Netanyahu hanya memetik penilaian yang mendakwa Hamas mengumpul senjata pada “kadar yang sederhana”. Beliau juga sengaja memadamkan cadangan daripada komuniti perisikan yang mengesyorkan agar serangan segera dilancarkan walaupun ia berisiko mencetuskan konflik yang lebih luas.
Pendedahan ini dijangka akan terus memberi tekanan hebat kepada Netanyahu yang kini berdepan dengan kecaman pelbagai pihak di Israel kerana gagal menghalang tragedi berdarah tersebut.
SUMBER: TRT World & Agensi






