DomestikInspirasiSemasa

Kasihnya ayah sepanjang masa, Selamat Hari Bapa !

Ayah, abah, papa, abi, daddy mahupun apa sekali gelaran yang diberikan kepada seorang ayah, dialah yang sentiasa ada di sisi kita sebagai seorang anak dalam setiap peringkat kehidupan.

Hadirnya seorang ayah merupakan insan yang mengajar kita untuk sentiasa menghargai setiap detik di dalam kehidupan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat”¬† (Surah Al-Isra’ : 23-25)

Ayat tersebut menjelaskan tanggungjawab seorang anak terhadap kedua ibu bapanya seperti mendoakan kesejahteraan mereka, melakukan kebaikan, menghulurkan bantuan dan membalas jasa ibu dan ayah di atas segala pengorbanan mereka yang tidak terhitung.

Justeru sambutan Hari Bapa yang diraikan setiap tahun wajar dimanfaatkan untuk menghargai jasa dan pengorbanan golongan bapa. Malah, memuliakan ibu dan bapa ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu.

Bagi umat Islam, kewajipan memuliakan dan menghormati mereka sudah dititikberatkan  dalam Al-Quran an Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terikat masa dan tempat.

Tanpa kita sedari, tanpa seorang ayah suramlah kehidupan seorang anak. Hadirnya seorang ayah sebagai tanggungjawab bagi menyediakan keperluan anak-anak.

Pernahkah kita terfikir apa yang dilalui oleh seorang ayah untuk membawa pulang rezeki untuk seisi keluarga?

Selalunya karakter seorang ayah ini akan menjadi idola buat anak perempuannya. Malah, dalam memilih calon suami sudah pasti sifat keperibadian ayahnya menjadi keutamaan. Bagi anak lelaki, mereka akan belajar untuk menjadi lelaki budiman seperti ayahnya.

Selain itu, ayah juga berperanan sebagai sumber rujukan buat anak-anaknya. Tak kisahlah isu agama, politik, sukan atau kehidupannya secara amnya.

Besar pengorbanan seorang ayah dalam institusi kekeluargaan.

Selamat Hari Bapa kepada semua bapa dan ayah yang hebat di seluruh dunia ! Memang bukan mudah menjadi seorang bapa.

Maka luangkan sedikit masa untuk menghargai pengorbanan ayahmu!

Related Articles

Back to top button