PalestinSemasa

Kecaman Antarabangsa Meningkat Terhadap Rancangan Penempatan Haram E1 Israel

Keputusan Israel untuk membina ribuan unit rumah peneroka Yahudi di Tebing Barat yang diduduki mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa, dengan banyak pihak memberi amaran bahawa rancangan itu akan menjejaskan keamanan serantau dan menggagalkan penyelesaian dua negara.

Israel melalui Menteri Kewangan sayap kanan, Bezalel Smotrich, meluluskan projek pembinaan 3,400 unit rumah di kawasan dikenali sebagai E1 di Baitulmaqdis Timur yang diduduki serta 350 unit tambahan di penempatan Ashael berhampiran Hebron.

Pelan tersebut, yang tertangguh selama lebih dua dekad akibat tekanan antarabangsa, bakal memisahkan Tebing Barat kepada bahagian utara dan selatan, sekali gus mengasingkan Baitulmaqdis Timur dan menghalang pembentukan negara Palestin yang berdaulat.

Smotrich menyifatkan penempatan baharu itu sebagai “satu lagi paku dalam keranda sebuah negara Palestin,” sambil menegaskan bahawa setiap projek penempatan adalah langkah konkrit untuk menafikan kewujudan Palestin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta bercanggah dengan resolusi badan dunia berkenaan. Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, memberi amaran bahawa projek E1 mengancam kesinambungan wilayah Palestin dan boleh memadamkan sama sekali prospek penyelesaian dua negara.

Eropah turut mengeluarkan kecaman keras. Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, menganggap langkah Israel “tidak boleh diterima dan berbahaya kepada kestabilan serantau.” Menteri Luar UK, David Lammy, pula menyifatkan rancangan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa” yang akan melemahkan penyelesaian dua negara.

Perancis, Belanda dan Belgium turut menentang projek tersebut. Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, menegaskan bahawa pelaksanaan projek E1 akan menjadikan negara Palestin pada masa hadapan “hampir mustahil.”

Türkiye, sekutu utama Palestin, mengecam keras langkah itu dengan menyifatkannya sebagai “penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.” Ankara menegaskan sokongannya terhadap negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan projek berkenaan sebagai serangan terus terhadap prospek pembentukan negara Palestin. Kementerian Luar Palestin memberi amaran bahawa rancangan itu akan “memecahkan kesatuan geografi dan demografi” Tebing Barat, menjadikan wilayah Palestin seperti “penjara sebenar.”

Kini, terdapat lebih 500,000 peneroka Yahudi yang menetap secara haram di Tebing Barat di bawah perlindungan tentera Israel. Tiga juta rakyat Palestin di wilayah itu pula hidup dalam keadaan terhimpit, dengan kebebasan bergerak serta hak pemilikan tanah mereka sering dicabuli.

Amerika Syarikat, walaupun mempertahankan “hak keselamatan Israel,” mengakui bahawa peluasan penempatan di wilayah Palestin yang diduduki adalah penghalang utama kepada keamanan.

Sumber: TRT Global / Agensi

Related Articles

Back to top button