
Bursa Malaysia dengan kerjasama rapat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya menghentikan insiden akses dan aktiviti dagangan tanpa kebenaran yang berlaku pada 24 April lalu.
Kes ini melibatkan beberapa akaun pelanggan di bawah sebilangan kecil broker. Bagaimanapun, Bursa Malaysia bertindak pantas mengenal pasti masalah tersebut dan mengambil langkah untuk mengelakkan perkara sama daripada berulang.
Dalam kenyataan rasmi, Bursa Malaysia memaklumkan bahawa pihak mereka kini bekerjasama dengan pihak industri dan pengawal selia pasaran modal bagi menyelesaikan kesan daripada insiden itu secara adil dan telus.
Antara tindakan segera yang diambil termasuklah arahan untuk ‘membekukan’ sekuriti dan hasil dagangan yang terjejas selama 14 hari, atau lebih lama jika perlu, untuk tujuan siasatan.
Insiden ini hanya melibatkan saham Bina Puri Holdings Bhd dan Waran-B Bina Puri. Tiada kes dagangan tanpa kebenaran lain yang berlaku selepas itu.
Semua broker juga telah dinasihatkan supaya memperketatkan kawalan dalaman dan keselamatan siber masing-masing. Pada masa sama, audit forensik sedang dijalankan bagi mencari punca sebenar insiden ini.
Bursa Malaysia turut memberi jaminan bahawa sistem perdagangan mereka kekal kukuh dan selamat. Pasaran terus berjalan seperti biasa dan boleh diakses oleh semua peserta pasaran. BERNAMA