
Harapan Selangor FC untuk membawa pulang tiga mata penuh lebur selepas gol lewat permainan Peter Zulj menyaksikan mereka diikat 1-1 oleh Buriram United dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN 2025/2026 di Chang Arena, Thailand, malam ini.
Pada perlawanan tersebut, Gergasi Merah terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan penyerang import, Chrigor Moraes pada minit ke-38.
Buriram cuba bangkit dengan melancarkan beberapa serangan namun ketangkasan benteng pertahanan Selangor serta aksi cemerlang penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz, menafikan usaha tuan rumah untuk menyamakan kedudukan.
Namun, ketika kemenangan seolah-olah hampir digenggam Selangor, Zulj muncul wira Buriram selepas menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus meranapkan impian skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk meraih kemenangan sulung.
Selangor dijadualkan berdepan wakil Singapura, Tampines Rovers dalam aksi kedua Kumpulan A pada 24 Sept di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
— BERNAMA