DuniaSemasa

Kembalinya sebutir permata Islam ke rahmatullah…

Al-Habib Abu Bakar al-Adni Al-Masyhur kembali ke rahmatullah di ibu negara Jordan, Amman

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Semalam, dunia kehilangan seorang lagi ulama tersohor, Al-Habib Abu Bakar al-Adni Al-Masyhur yang telah kembali ke rahmatullah di sebuah hospital di ibu negara Jordan, Amman.

Allahyarham Al-Habib Abu Bakar al-adni Al-Masyhur berasal dari Hadramaut, Yaman, dilahirkan pada pada tahun 1366 Hijrah dalam sebuah keluarga yang sangat mencintai ilmu dan dakwah. Beliau tergolong daripada kalangan keluarga Ba’alawi al-Hadhramah, di mana nasabnya bersambung kepada Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib dan Sayyidah Fatimah al-Zahra, puteri Rasulullah SAW.

Pada usia 14 tahun, beliau sudah dilatih oleh ayahandanya iaitu seorang ulama terkenal yang bernama Sayyid Ali bin Abi Bakar bin Alawi al-Masyhur untuk menyampaikan dakwah, menyusun isi kandungan khutbah Jumaat dan kemudian berlatih berkhutbah di hadapan ayahnya sebelum menyampaikannya di atas mimbar.

Allahyarham berjaya membentuk kesatuan pemikiran dan jiwa masyarakat Yaman, bahkan telah membuka sebuah pusat pengajian pondok yang jumlahnya lebih 80 cawangan di seluruh Yaman yang mengetengahkan sistem pendidikan moden dan sistem pendidikan tradisional serta berjaya melahirkan ramai ilmuan.

Beliau turut berjaya menghasilkan lebih 150 karya yang merangkumi bidang seperti Fiqh, sejarah, dakwah, sastera dan banyak lagi. Bahkan antara karyanya yang sangat terkenal mengupas tentang Fiqh at-Tahawwulat iaitu sebuah ilmu untuk mengenal dan mendepani dunia akhir zaman.

Beliau merupakan lulusan dari Universiti Aden, Kuliyyah Tarbiyah, Jabatan Bahasa Arab dan memperoleh  ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama.

Pada 1400 Hijrah, atas semangat dan kecerdasannya dalam menuntut ilmu telah mendorong dirinya untuk bermusafir ke Tanah Hijaz bagi menerima ilmu daripada sekumpulan ulama yang diketuai oleh tokoh pendidik dan ulama terkemuka, Habib Abdul Qadir bin Ahmad al-Saqqaf.

Setelah kembali ke tanah air pada tahun 1412 Hijrah, beliau mula berkhidmat di dalam bidang dakwah Islamiah di bawah jurusan pendidikan, pengajaran dan kurikulum serta bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam secara pendekatan “Kesederhanaan Syariah dan Pertengahan Kesedaran.”

Jenazah Allahyarham akan diterbangkan dari Jordan ke Seiyun, kemudian akan dibawa ke Tarim dan dimakamkam di Pemakaman Zanbal.

Related Articles

Back to top button