
Kerajaan memilih untuk tidak melaksanakan projek mega yang hanya memberi kesan terhad kepada rakyat dalam masa terdekat, sebaliknya menumpukan kepada perbelanjaan yang secara langsung meningkatkan kesejahteraan masyarakat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global yang menuntut pengurusan fiskal berhemah dan keutamaan terhadap program-program yang dekat dengan rakyat.
“Pendekatan kerajaan adalah untuk menyalurkan perbelanjaan dalam program yang benar-benar memanfaatkan kehidupan rakyat seperti pembaikan sekolah, klinik luar bandar serta kemudahan asas lain. Langkah ini juga mampu menjana limpahan ekonomi setempat dan membuka peluang perniagaan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah menjelaskan prospek pertumbuhan negara sepanjang tempoh RMK-13 akan terus dipacu oleh pelaburan awam dengan komitmen keseluruhan berjumlah RM611 bilion. Jumlah itu merangkumi RM430 bilion perbelanjaan pembangunan, RM120 bilion pelaburan langsung domestik oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta RM61 bilion melalui projek perkongsian awam-swasta (PPP).
“Meskipun ruang fiskal yang diwarisi agak terhad, Kerajaan MADANI telah memanfaatkan segala sumber dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat, meskipun keadaan ekonomi dunia semakin mencabar.
“Selain itu, pelbagai langkah penambahbaikan tadbir urus telah diperkenalkan untuk memastikan setiap sen hasil negara dibelanjakan secara berhemah. Usaha ini penting bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia sekali gus meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” katanya.
— BERNAMA