Dunia

Konflik Rusia-Ukraine: Taliban gesa penyelesaian secara aman

KABUL : Kerajaan Taliban di Afghanistan menggesa Rusia dan Ukraine agar segera menghentikan peperangan yang tercetus menyeru kedua-dua pihak menyelesaikan konflik secara aman.

Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan Taliban, Abdul Qahar Balkhi menyuarakan kebimbangan mereka mengenai nasib orang awam yang terperangkap dalam konflik itu.

“Kami memantau dengan teliti keadaan di Ukraine, keberangkalian lebih ramai orang awam yang tidak bersalah terkorban sekiranya peperangan ini berterusan.

“Semua pihak perlu berhenti daripada berada dalam kedudukan yang boleh meningkatkan keganasan,” katanya.

Balkhi menegaskan bahawa kerajaan Taliban mengamalkan “dasar berkecuali” tetapi mereka tetap menyeru kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan krisis melalui dialog dan secara aman.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa Moscow dan Kyiv untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar Afghanistan dan golongan pelarian masih berada di negara itu.

Untuk rekod, Presiden Rusia, Vladimir Putin melaksanakan operasi ketenteraan selepas mengiktiraf wilayah Luhansk dan Donetsk dan mendakwa Barat mengabaikan kebimbangan utama Moscow berhubung keselamatannya.

Lebih 150,000 tentera Rusia dikerahkan ke timur Ukraine di wilayah puak pemisah iaitu Donbas. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengesahkan seramai 137 orang terbunuh manakala 316 lagi cedera selepas serangan tentera Rusia sejak awal Khamis.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button