Semasa

Konsep Ta’syush jadikan Sarawak stabil serta adil

Keadilan Piagam Madinah untuk semua akan jadi asas dasar Sarawak

KUCHING: Penekanan kepada keadilan untuk semua tanpa mengira agama sepertimana digariskan di bawah Piagam Madinah akan menjadi asas kepada Kerajaan Sarawak dalam merangkan dasar di negeri ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata piagam yang turut dikenali sebagai Perlembagaan Madinah memberikan tadbir urus yang adil kepada rakyatnya dan mengutamakan nilai kemanusiaan.

“Apabila Nabi Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah, baginda menubuhkan sebuah kerajaan yang adil untuk semua, kepada orang Islam dan bukan Islam”.

“Perlembagaan itu (Madinah) akan menjadi panduan kami. Kami perlu berlaku adil terhadap mereka di bawah kami, selaku Premier Sarawak, saya dan rakan seperjuangan akan menggunakan ini sebagai asas untuk merangka dasar yang memanfaatkan semua”, kata beliau dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa Cendekiawan Islam selama dua hari yang bermula pada Selasa.

Kredit foto Bilik Berita CATS – BBcats

Perlembagaan Madinah merupakan satu perjanjian yang dihasilkan Nabi Muhammad SAW dengan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai golongan bagi membina kefahaman dan perpaduan dalam kalangan mereka selain daripada saling menghormati.

Sementara itu, Abang Johari berkata di Sarawak semua agama dihormati dan mendapat perhatian kerajaan.

Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak

“Kami ada Jabatan Agama Islam Sarawak yang menjaga orang Islam dan kami juga ada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk membantu mereka yang bukan Islam. Ini adalah kerana kami menghormati yang bukan Islam“, katanya.

Sarawak satu-satunya negeri yang mengamalkan konsep Ta‘ayush (saling hidup di dalam kelembutan dan kasih sayang, seperti al-Ta’ayush al-silmi yang bermaksud saling hidup dalm keadaan harmoni) secara bersahaja dan harmoni selaras dengan Konsep Piagam Madinah pada era global dan digital hari ini.

Abang Johari berkata, konsep itu menjadi asas untuk membina wilayah ini sebagai kerajaan yang adil serta stabil selain menggalakkan seluruh rakyat Islam dan bukan Islam untuk hidup bersama secara aman dan harmoni.


Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button