Kos bahan mentah naik tak jejas kualiti makanan jemaah Haji
MEKAH: Peningkatan kos bahan mentah makanan di Arab Saudi tidak menjejaskan kualiti dan kuantiti hidangan yang disediakan untuk jemaah haji muassasah pada tahun ini.
Ini kerana Tabung Haji (TH) telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengimbangi kenaikan tersebut supaya kebajikan jemaah haji terus menjadi keutamaan.
Sementara itu, beliau berkata, pada tahun ini TH turut menambah jumlah menu makanan daripada 28 jenis kepada 42 jenis menu masakan citarasa Malaysia.
Katanya, ia dilakukan untuk mempelbagaikan citarasa supaya tidak timbul keadaan di mana jemaah makan menu yang sama dalam masa yang singkat.
“Mana yang kurang kita akan tambah baik lagi dan TH turut adakan perbincangan dengan pakar berkaitan makanan supaya hidangan yang disediakan lengkap dengan nutrisi,”katanya.
Syed Saleh berkata, 18 tukang masak yang berpengalaman dari Malaysia turut dibawa bertugas di syarikat katering supaya penyediaan makanan mengikuti piawaian ditetapkan.
“Katering juga dipantau dengan rapi dari sudut kebersihan, stor penyimpanan, perolehan bahan mentah dan perlu mematuhi piawaian ditetapkan kerajaan Arab Saudi,”katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, beberapa penambahbaikan turut dilakukan dalam pembungkusan makanan agar kualiti dapat dikekalkan.
“Cetakan pada penutup hidangan dinyatakan makanan untuk makan tengah hari atau malam serta maklumat hidangan,” katanya pada tahun ini sebanyak 2 juta pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia.
Beliau berkata, kesemua usaha itu dilakukan bagi memastikan jemaah mendapat makanan yang terbaik agar mereka dapat fokus kepada ibadat yang ingin dilakukan.
Sementara itu, jemaah haji yang ditemui ternyata berpuas hati dengan hidangan yang disediakan TH kerana memenuhi citarasa mereka.
Mohd Razif Abd Razak, 39, dari Johor Bahru, berkata, ada pelbagai menu yang sedap seperti ayam masak lemak, asam pedas, ayam masak kicap dan macam-macam lagi.
Seorang lagi jemaah dari Kuala Selangor, Roslini Mustapa, 60, memberitahu, dia dan rakan-rakannya berpuas hati dengan hidangan yang disediakan TH.
“Untuk menambah lagi selera kami bawa sambal ikan bilis, budu, serunding dan makan beramai-ramai bersama rakan sebilik,” katanya.
BACA JUGA
Hukum orang tidak berkemampuan ingin melaksanakan ibadah korban