
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa keputusan untuk menyemak semula pelaksanaan peperiksaan awam ini dibuat setelah mengambil kira pandangan dan permintaan ibu bapa yang mahukan sistem penilaian tersebut dipertimbangkan semula. Kajian ini akan dilaksanakan dengan segera dan segala dapatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan muktamad.
Untuk rekod, UPSR telah dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2021 manakala PT3 pada tahun 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Sumber: BERNAMA







