
Lebih 800 atlet Palestin dilaporkan terkorban di Semenanjung Gaza sejak serangan Israel bermula pada 7 Oktober 2023, menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA). Serangan berterusan itu bukan sahaja meragut nyawa, malah memusnahkan hampir keseluruhan infrastruktur sukan di wilayah berkenaan.
Daripada jumlah itu, 421 adalah pemain bola sepak, hampir separuh daripadanya merupakan kanak-kanak. Mangsa terbaharu ialah bekas pemain pasukan kebangsaan Palestin, Suleiman al-Obaid, 41, yang terbunuh pada Rabu lalu ketika beratur untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Al-Obaid, bapa kepada lima anak, dianggap antara bintang bola sepak terkemuka Palestin. Sepanjang kariernya, beliau mewakili pasukan kebangsaan dalam 24 perlawanan antarabangsa dan menjaringkan dua gol.
PFA memaklumkan bahawa sejak bermulanya serangan, kebuluran dan kekurangan zat makanan semakin memburuk, mengakibatkan ramai atlet termasuk kanak-kanak meninggal dunia. Sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin telah mati akibat kelaparan sejak sekatan ketat Israel dikenakan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 61,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, sama ada akibat serangan udara, darat, mahupun kelaparan.
Sektor sukan Gaza turut lumpuh apabila kira-kira 90 peratus infrastrukturnya musnah. PFA menganggarkan 288 kemudahan sukan di Gaza dan Tebing Barat hancur sama ada sebahagian atau sepenuhnya, termasuk stadium, gimnasium dan kelab bola sepak. Malah, ibu pejabat PFA sendiri turut menjadi sasaran serangan udara Israel.
Pemusnahan ini menandakan kejatuhan hampir seluruh aktiviti sukan di Gaza. Atlet, jurulatih, dan pegawai sukan terpaksa meninggalkan minat mereka demi kelangsungan hidup di tengah-tengah pengeboman, perpindahan paksa dan ancaman kebuluran yang semakin meningkat.
Sumber – TRT World