DomestikSukan

Lee Zii Jia Fokus Pemulihan, Ranking Dunia Kekal Top 10

KUALA LUMPUR : Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia kekal dalam kelompok 10 terbaik dunia meskipun kini sedang berehat daripada kejohanan akibat kecederaan.

Dalam ranking terkini yang diumumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 29 April, Zii Jia berada di kedudukan kesembilan dunia.

Beliau sebelum ini mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika menyertai BWF World Tour Finals hujung tahun lalu. Kecederaan itu memaksanya menarik diri daripada beberapa kejohanan penting seperti Malaysia Open, Swiss Open dan Kejohanan Badminton Asia 2025.

Bagi mengelak kehilangan kedudukan dalam carta dunia, pasukannya telah memohon perlindungan ranking (ranking protection) daripada BWF. Permohonan itu telah diluluskan, membolehkan beliau mengekalkan kedudukan dalam kelompok elit dunia walaupun tidak aktif bertanding buat sementara waktu.

Setakat ini, masih belum ada tarikh rasmi untuk kemunculan semula Zii Jia di gelanggang kompetitif. Bagaimanapun, pasukannya memaklumkan bahawa keutamaan ketika ini adalah memastikan pemain itu benar-benar pulih sebelum kembali beraksi.

Lee Zii Jia sebelum ini pernah mencipta sejarah apabila memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, menjadikannya antara atlet paling dibanggakan rakyat Malaysia.

Related Articles

Back to top button