
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari sayur hutan berhampiran Terminal Bas Baru Miri pada Sabtu lalu telah ditemui meninggal dunia, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Upil Lutan, 44, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.34 petang, pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Miri untuk proses selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang susulan penemuan mayat tersebut.
Panggilan kecemasan berkaitan kejadian diterima pada pukul 2 petang Sabtu, apabila mangsa gagal pulang selepas keluar mencari sayur hutan di kawasan berkenaan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah digerakkan ke lokasi sejurus selepas menerima laporan, dan operasi SAR dimulakan pada pukul 9.20 pagi keesokan harinya.
Operasi pencarian melibatkan empat kumpulan yang menyusuri kawasan dalam radius satu kilometer, namun gagal menemukan mangsa pada hari pertama. Usaha pencarian disambung pada hari ini sebelum akhirnya menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
— BERNAMA