Mahkamah Daerah Jerusalem mengeluarkan injunksi sementara bagi membekukan rancangan kontroversi Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir untuk meletakkan buaya di dalam parit di sekeliling Penjara Ketziot di Gurun Negev.
Penjara berkenaan merupakan fasiliti yang menahan ratusan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza sejak meletusnya konflik pada Oktober 2023.
Injunksi berkenaan dikeluarkan oleh Hakim Avraham Rubin selepas badan hak asasi haiwan, Let the Animals Live bersama Klinik Keadilan Alam Sekitar Universiti Tel Aviv memfailkan petisyen mencabar keputusan kerajaan pimpinan menteri berhaluan kanan tersebut.
“Perintah sementara ini berkuat kuasa bagi menghalang kerja-kerja yang tidak dapat dipulihkan daripada diteruskan sementara menunggu maklum balas rasmi daripada pihak berkuasa menjelang pertengahan Ogos ini,” menurut laporan penyiar awam Israel, KAN.
Projek Perintis Bernilai RM30 Juta Dipersoal
Laporan mendedahkan bahawa pihak berkuasa Israel telah pun memulakan kerja-kerja penggalian parit di sekeliling fasiliti penjara berkenaan. Kementerian Keselamatan Negara dilapor memperuntukkan anggaran sebanyak $6.9 juta (sekitar RM30.8 juta) bagi menjayakan projek perintis tersebut.
Rancangan itu sebelum ini cuba direalisasikan menerusi keputusan Menteri Perlindungan Alam Sekitar, Idit Silman pada 15 Julai lalu yang mengklasifikasikan buaya sebagai “haiwan liar yang dijaga” bagi membolehkan reptilia pemangsa itu dipindahkan ke fasiliti penjara sebagai langkah keselamatan awam.
Walau bagaimanapun, petisyen hak asasi menegaskan bahawa tindakan itu dibuat tanpa kuasa undang-undang yang sah selain mengabaikan risiko keselamatan terhadap haiwan, orang awam, dan keseimbangan alam sekitar.
Penindasan Tahanan Palestin Makin Meruncing
Sejak memegang jawatan pada penghujung tahun 2022, Ben-Gvir secara konsisten melaksanakan pelbagai langkah drastik yang menjejaskan kebajikan tahanan Palestin, termasuk pemotongan bekalan makanan, pengabaian perubatan, penyeksaan, dan kurungan bersendirian.
Menurut pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan antarabangsa, kira-kira 9,500 tahanan Palestin—termasuk wanita dan kanak-kanak—kini dikurung di dalam penjara-penjara Israel di bawah keadaan yang amat buruk, dengan puluhan kematian telah direkodkan akibat kebuluran dan penyeksaan.
Sumber: Agensi Anadolu / TRT World






