PalestinSemasa

Mahkamah UK Gugurkan Tuduhan Keganasan Terhadap Rapper Mo Chara

Mahkamah di United Kingdom pada Jumaat menggugurkan tuduhan keganasan terhadap penyanyi rap dari Ireland, Liam Og O hAnnaidh, yang lebih dikenali dengan nama pentasnya Mo Chara, berikutan kesilapan teknikal dalam proses pendakwaan.

O hAnnaidh, 27, sebelum ini didakwa pada Mei lalu kerana didakwa mengibarkan bendera menyokong kumpulan Hizbullah, yang diharamkan di UK, ketika membuat persembahan di London pada November 2024.

Namun, Hakim Paul Goldspring di Mahkamah Mahkota Woolwich memutuskan bahawa tuduhan itu “tidak sah” dan “batal” kerana ia difailkan melepasi had masa enam bulan yang ditetapkan undang-undang.

“Saya dapati prosiding ini tidak dimulakan dalam bentuk yang betul, tanpa persetujuan Pengarah Pendakwaan Awam (DPP) dan Peguam Negara dalam tempoh masa berkanun enam bulan,” kata hakim itu.

Beliau menjelaskan bahawa kelulusan rasmi hanya diberikan pada 22 Mei — sehari selepas O hAnnaidh didakwa — sekali gus melangkaui tempoh yang dibenarkan. BBC melaporkan bahawa pihak polis juga gagal mendapatkan kebenaran tepat pada masanya daripada Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS).

Keputusan tersebut mencetuskan sorakan para penyokong O hAnnaidh di dalam mahkamah.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan menerusi kumpulannya Kneecap, O hAnnaidh berkata kes itu “tidak pernah mengenai dirinya secara peribadi, atau mengenai sebarang ancaman terhadap orang awam”.

“Ia sentiasa mengenai Gaza, tentang apa yang berlaku apabila anda berani bersuara. Sebagai rakyat Ireland, kami tahu apa itu penindasan, penjajahan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai,” katanya dalam mesej di platform X.

Beliau menambah: “Jika ada pihak yang benar-benar bersalah atas keganasan, ia adalah negara British. Bebaskan Palestin!”

— Agensi

Related Articles

Back to top button