Domestik

MAPIM Tambah Semarak Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat di Duyong

DUYONG, 26 Julai –Penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 penduduk setempat. Ini menzahirkan kejayaan pendekatan turun padang Kerajaan Negeri dalam merakyatkan pentadbiran di peringkat akar umbi.

Menambahkan impak program kali ini ialah kehadiran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menyantuni rakyat Duyong melalui misi kemanusiaan serta penggerakan bantuan lapangan berimpak tinggi. Sentuhan Prihatin MAPIM: Hidangan Percuma dari Bas Mobile Kitchen

MAPIM Malaysia yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ (Dr.) Sani Araby bin Dato’ Abdul Alim Araby, dan Setiausaha Agung, Kolonel Bersekutu (PA) Haji Muhammad Faris bin Hussain, hadir bersama barisan pimpinan termasuk Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (PA) Zuhanis Bin Zainol dan Leftenan (PA) Hidayat Abdullah bagi melaksanakan program bantuan dua hari berturut-turut, bermula 25 Julai.

Antara inisiatif utama MAPIM sepanjang WRUR Duyong ialah:

  • Double Decker Mobile Clinic – menyediakan khidmat kesihatan percuma oleh pasukan doktor dan pegawai kesihatan MAPIM.
  • Bas Mobile Kitchen – mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada pengunjung program sepanjang hari.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata WRUR edisi keenam di Duyong menyaksikan sebanyak 174 program berjaya dilaksanakan dalam tempoh dua minggu melibatkan pelbagai pengisian termasuk keagamaan, pendidikan, pembangunan dan kebajikan.

Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama masyarakat setempat dan pelakon Fattah Amin semasa Majlis Penutupan WRUR DUN Duyong.

“Sambutan luar biasa daripada rakyat Duyong mencerminkan kejayaan pendekatan kerajaan negeri dalam mendekati rakyat secara langsung serta menyelesaikan isu setempat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan WRUR DUN Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas penglibatan pertubuhan seperti MAPIM yang hadir menyantuni masyarakat secara menyeluruh dan melengkapi inisiatif kerajaan negeri dalam aspek kebajikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf turut memuji pelaksanaan inisiatif Kampung Digital di seluruh kawasan DUN Duyong yang melibatkan 21 kampung dan 3,634 premis. Sehingga kini, lebih 500 penduduk telah menukar kad pengenalan kepada alamat baharu secara percuma menerusi bantuan kerajaan negeri.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Datuk Rais Yasin; Pengerusi Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; serta Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Dengan komitmen berterusan menyantuni rakyat, MAPIM Malaysia menegaskan iltizam untuk memperluas jaringan kebajikan di seluruh negara menerusi pendekatan langsung, bersepadu dan inklusif.
Dari Ummah Untuk Ummah.”

Related Articles

Back to top button