InspirasiSemasa

Margaret Gan tolak tawaran berlakon watak tidak bertudung

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Margaret Gan yang telah memeluk Islam pada tahun lalu sanggup menolak beberapa tawaran berlakon yang memerlukannya membuka tudung.

Margaret berkata, beliau sentiasa bersikap positif dan berfikiran terbuka apabila sering diberikan watak sama. Katanya, beliau boleh saja melakonkan watak wanita Cina, tapi sekarang kenalah bertudung.

“Sebagai orang Islam dan bertudung, saya memang menolak tawaran berlakon yang memerlukan saya tidak bertudung.”

“Tawaran berlakon itu masih lagi diterima, tapi ada juga yang menawarkan saya watak tidak bertudung. Jadi, tak bolehlah saya nak terima sebab saya dah beragama Islam dan bertudung. Saya pun tak akan sesekali membuka tudung.”

“Lagipun, saya percaya dan yakin rezeki ada di mana-mana kerana Allah yang memberikannya,” tegasnya lagi.

Margaret menyambut Tahun Baharu Cina kali pertama sebagai Muslim dengan memperbanyakkan amalan bersedekah dan beliau bersyukur kerana sudah mampu menghafal surah al Fatihah dengan baik.

Margaret berkata, beliau memang meraikan Tahun Baharu Cina secara sederhana sejak dulu dengan meluangkan banyak masa bersama keluarga, cuma yang berbeza kini beliau sudah memeluk Islam sejak 15 Februari tahun lalu.

“Saya gembira meraikan Tahun Baharu Cina setiap tahun kerana menghabiskan masa bersama keluarga. Cuma, kali ini saya lebih gembira kerana banyak bersedekah. Ia membuatkan saya sangat seronok dan tenang jiwa.”

“Alhamdulillah, saya juga masih dianugerahkan oleh Allah SWT menjalani kehidupan seperti biasa dengan bahagia bersama anak, menantu dan cucu, selain kesihatan yang baik serta peluang terbabit dengan banyak aktiviti kebajikan dianjurkan persatuan-persatuan yang mengajak saya menyertainya.”

Terdahulu, Margaret bersyukur impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 38, untuk melihat beliau memeluk agama Islam menjadi kenyataan tahun lalu selepas menunggu dengan sabar bertahun-tahun lamanya.

BACA JUGA
Syafiq Liow memilih Islam sebagai pegangan hidup

 

 

Related Articles

Back to top button