
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa dasar baharu membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu bermula sesi persekolahan 2027 adalah bersifat fleksibel dan tidak diwajibkan kepada semua.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, kebenaran tersebut hanya terpakai kepada murid yang benar-benar bersedia dari aspek fizikal, emosi, dan kognitif, serta mendapat persetujuan daripada ibu bapa.
Ujian Diagnostik Penentu Kelayakan
Menurut Fadhlina, ibu bapa berperanan penting dalam menilai tahap kesediaan anak-anak mereka sebelum membuat keputusan untuk mendaftarkan mereka lebih awal.
“Kita tidak mahu ada impak negatif kepada anak-anak jika mereka belum bersedia dari segi psikologi dan emosi.
“Oleh itu, selepas ibu bapa mengenal pasti potensi anak, pihak KPM akan menjalankan ujian diagnostik yang merangkumi penilaian psikomotor dan aspek lain bagi memastikan mereka benar-benar layak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di sini, hari ini.
Pelaksanaan Berperingkat Elak Kesesakan
Mengulas mengenai kegusaran ibu bapa berhubung isu fasiliti dan kepadatan murid, Fadhlina menjelaskan bahawa kemasukan akan dibuat secara berperingkat berdasarkan data yang dikumpul.
KPM akan memulakan pengumpulan data kanak-kanak berusia enam tahun di seluruh negara bermula tahun ini. Data ini akan digunakan untuk menyusun persiapan logistik, prasarana sekolah, dan unjuran keperluan guru.
“Penyelesaiannya ialah kita mulakan dengan yang bersedia dahulu. Kohort murid berusia tujuh tahun akan diteruskan seperti biasa,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak panik dengan perubahan ini, sebaliknya bekerjasama dengan KPM untuk memastikan transisi anak-anak ke alam persekolahan berjalan lancar mengikut kemampuan masing-masing.
Sumber: BERNAMA






