
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan bahawa kewujudan persekongkolan dan pakatan tidak wajar daripada segelintir rakyat tempatan yang melindungi pendatang tanpa izin, termasuk etnik Rohingya, menjadi antara punca utama tindakan penguatkuasaan sukar dilaksanakan secara berkesan.
Amirudin menegaskan bahawa apabila pihak berkuasa mahu mengambil tindakan undang-undang, timbul persekitaran apabila ada elemen tempatan yang bertindak mempertahankan serta melindungi golongan terbabit, malah ada yang mengambil kesempatan atas situasi terdesak mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup di negara ini.
“Bila kita ambil tindakan dan sebagainya, adanya elemen lokal yang mempertahankan dan melindungi mereka. Ini antara realiti yang harus kita akui bagaimana ada kewujudan persekongkolan yang tidak wajar di antara rakyat tempatan dengan pihak-pihak terbabit.
“Jadi penguatkuasaan harus juga dilibatkan bukan hanya kepada pihak yang terbabit, tetapi mereka yang terlibat bersekongkol malah mengambil kesempatan atas situasi terdesak mereka,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Johan Abd Aziz (BN-Dusun Tua) berhubung pencerobohan dan isu warga asing serta etnik Rohingya di daerah Hulu Langat.
Kad UNHCR Bukan Lesen Bebas Berniaga Atau Miliki Aset
Mengulas mengenai status pelarian, Amirudin menjelaskan bahawa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diiktiraf oleh badan antarabangsa berkenaan dan bukannya dikeluarkan oleh kerajaan tempatan.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan di peringkat Persekutuan mahupun Negeri bahawa pemilikan kad UNHCR bukanlah ‘lesen’ automatik untuk mana-mana warga asing beroperasi secara sewenang-wenangnya seperti menjalankan perniagaan, memiliki aset, atau menetap tanpa tertakluk kepada undang-undang tempatan.
Berdasarkan semakan rekod di Pejabat Daerah dan Tanah setakat ini, sebanyak 9,515 individu daripada etnik Rohingya telah direkodkan berdaftar di daerah Hulu Langat.
Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)







