DuniaSemasa

PM Anwar Undang Rajmohan Gandhi, Cucu Mahatma Gandhi Berkunjung Ke Malaysia Tahun Depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjemput sejarawan terkemuka India, Rajmohan Gandhi untuk berkunjung ke Malaysia pada suku pertama tahun depan bagi menyampaikan syarahan serta berkongsi pandangan mengenai nilai demokrasi, keamanan, dan keharmonian.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri memaklumkan bahawa jemputan tersebut disampaikan secara peribadi menerusi satu perbualan telefon bersama Rajmohan, yang juga merupakan cucu kepada tokoh keamanan dunia, Mahatma Gandhi.

Anwar berkata, perbualan mesra itu turut memberi peluang kepada mereka untuk mengimbau kembali kenangan pertemuan lalu semasa persidangan mengenai demokrasi di Asia yang dianjurkan oleh Rajmohan di Mumbai pada tahun 2012.

“Saya turut mengundang beliau berkunjung ke Malaysia pada suku pertama tahun depan untuk menyampaikan syarahan dan berkongsi pandangan mengenai demokrasi, keamanan, keharmonian serta kepimpinan berteraskan nilai bersama para ilmuwan, mahasiswa dan pemimpin masyarakat,” kata Perdana Menteri.

Perkasakan Hubungan Ketamadunan Malaysia-India

Selain jemputan rasmi tersebut, kedua-dua tokoh berkenaan turut bertukar-tukar pandangan berhubung usaha memperkukuh hubungan sejarah dan ketamadunan antara Malaysia dan India.

Menurut Perdana Menteri, langkah ini boleh direalisasikan menerusi jaringan kerjasama akademik, perbincangan intelektual, serta dialog antara tamadun secara berterusan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar hubungan persahabatan serta ikatan sejarah yang telah lama terjalin antara kedua-dua belah pihak dapat terus diperkukuh dan dipertahankan pada masa hadapan.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Related Articles

Back to top button