Mekanisme pengutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau cukai lain daripada transaksi dalam talian yang melibatkan penjual atau portal luar negara menjadi antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Tan Hong Pin (PH-Bakri) menanyakan Menteri Kewangan mengenai mekanisme berkenaan, termasuk jumlah kutipan SST daripada transaksi dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2025. Beliau turut ingin mengetahui barangan import melalui portal luar yang dikecualikan SST serta justifikasinya, pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang bermula jam 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) menyoal Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai langkah kementerian menangani hasil sawah yang rendah, kebanjiran pekerja asing, serta isu tanaman kontan di sawah padi berikutan majoriti petani semakin menua dan generasi muda bekerja di luar sektor pertanian.
Selain itu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) bertanya kepada Perdana Menteri mengenai langkah kerajaan menambah baik peruntukan undang-undang keluarga Islam sedia ada, khususnya bagi mewajibkan nafkah ibu bapa yang berada dalam keadaan uzur, tiada pendapatan atau tidak mampu menyara diri sendiri, selaras dengan tuntutan hukum syarak.
Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) pula menyoal Perdana Menteri mengenai pelan kerajaan untuk merangka undang-undang baharu bagi menangani kejadian buli yang semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan kanak-kanak negara ini.
Mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
Sumber: BERNAMA







